KUCHING: Tiga premis perniagaan dan lapan buah rumah kediaman di sini dipotong bekalan elektrik kerana dijadikan sebagai pusat pengoperasian judi dalam talian.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata operasi bersepadu berkenaan dilakukan oleh seorang pegawai dan empat anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching dengan kerjasama Sesco, bermula jam 9.35 pagi hingga 2 petang semalam.
“Pemotongan bekalan elektrik ini dilakukan mengikut kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Ahsmon, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 40 serbuan berjaya dilakukan bagi menggempur kegiatan yang menyalahi undang-undang berkenaan.
Susulan itu, katanya sebanyak enam buah premis perniagaan dan 36 buah rumah kediaman telah dipotong bekalan elektrik.
Beliau berkata berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, mana-mana premis yang telah diputuskan bekalan elektrik tidak boleh disambungkan semula tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Polis Daerah.
Jelasnya tujuan pelaksanaan undang-undang itu adalah bagi mengekang pertambahan kegiatan perjudian.
