Dijangka wujud satu kluster baharu, Sibu Jaya bakal dikunci

SIBU: Susulan peningkatan kes positif Covid-19 di Sibu Jaya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan bandar kecil ini bakal dikunci dan akan dilaksanakan calitan besar-besaran di kawasan tersebut bermula Ahad ini.
Perkara ini disahkan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau diminta mengulas mengenai mesej yang ditularkan semalam (Khamis) mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di Sibu Jaya.
“Ya. Sehingga semalam (Khamis), Sibu Jaya mencatatkan sebanyak 89 kes positif.
“Kita berjaya mengesan terdapat banyak kes positif di lokasi yang sama sebelum ini.
“Oleh itu, KKM akan mengadakan saringan secara besar-besaran bagi membolehkan pengasingan awal dapat dibuat dan mencegah penularannya dari terus merebak dengan lebih besar lagi kepada komuniti Sibu Jaya,” tegas beliau.
Dr Chin memberitahu, usaha itu merupakan satu kesungguhan KKM untuk memerangi Covid-19 di Sibu Jaya sebelum terlambat.
“Kita tidak mahu ia menjadi Kluster Pasai sekiranya tindakan drastik tidak diambil dari sekarang oleh KKM,” ujar Dr Chin.