Dikerah umpama buruh paksa

Derita eman bulan tanpa gaji, diugut bunuh

KUCHING: Enam bulan tanpa gaji dan tidak pernah menikmati hasil upah sendiri, bekerja percuma seperti buruh paksa!

Lebih menakutkan diugut bunuh jika cuba melarikan diri dari kem pembalakan tempat mereka bekerja.

Sudah pasti, berada jauh beribu-ribu kilometer dari tanah air dan keluarga serta diperlaku seperti tiada harga diri menjadi momen gelap bagi hidup enam anak Sarawak di Kepulauan Solomon.

“Sebelum tiba di sana, saya dijanjikan gaji sebanyak RM7,000 tetapi realitinya tidak sama, kami bekerja tanpa upah.

“Apabila tiba di sana, kami pula membayar hutang RM18,000. Kami sendiri tidak tahu hutang apa, sedangkan kami kerja tanpa upah,” kongsi Ugot Masam, 31, yang kudratnya bekerja 24 jam siang dan malam.

Menurutnya, seksa, derita dan tidak makan adalah perkara biasa yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Mata saya selalu terbayang keluarga di Sarawak. Bayangkan, kamı cuma disediakan beras 10 kilogram sekampit, garam dan gula termasuk beberapa tin sardin.

“Dan pada masa yang sama, kami dikerah bekerja siang dan malam…saya tidak ingin mengimbaunya lagi,” katanya.

Ugot terdampar di kepulauan tersebut bersama-sama lima lagi rakannya Melingang Laja, 43; Ricky Alex, 26; Edau Mengit, 45, yang berasal dari Kapit serta Denis Anyie Ngau, 46, dan Anyie Ngau, 43, dari Baram, Miri.

Keenam-enam mereka dibawa pulang menerusi Singapura setelah terkandas di Kepulauan Solomon sejak Mei lalu, dan selamat tiba di Kuching semalam.

Cerita Ugot, penindasan oleh majikan mereka cukup keji dan kejam.

“Jika inginkan lauk, kami terpaksa masuk hutan mencari pucuk dan daun yang boleh dimakan.

“Berangan-angan hendak makan ayam dan daging jauh sekali. Daun yang kami kutip di hutan sudah dianggap makanan yang lazat,” katanya.

Jelasnya, sepanjang enam bulan, dia tidak pernah mengirim belanja untuk anak isterinya, malah tiga kali terkena malaria.

Mengakui diperkenalkan seorang kawan kepada majikan terbabit, Ugot yang kali pertama ke luar negara tidak mengimpikan lagi gaji besar dan hidup mewah. Cukup sekali tragedi itu benar-benar memberi pengajaran kepadanya.

Menurutnya lagi, tiga rakannya yang lain iaitu Edau, Melingang dan Ricky pernah bekerja di negara itu sebelum ini dan mereka bernasib baik kerana ketika itu mendapat majikan yang baik.

“Tetapi kali ini nasib tidak menyebelahi mereka kerana turut tidak dibayar gaji, malah terpaksa menanggung hutang sekitar RM4,000,” katanya.

Sementara itu, Adun Telang Usan Dennis Ngau berkata, operasi menyelamat kesemua mangsa adalah hasil usaha Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing dengan kerjasama Wisma Putra.

“Mereka datang ke Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Kepulauan Solomon pada 13 Mei lalu untuk mengadu tentang keadaan dan situasi sebenar majikan mereka,” katanya.

Sejak mengetahui masalah kesemua mangsa itu, Dennis berusaha mengumpulkan bantuan untuk membeli tiket penerbangan yang difahamkan berharga RM3,800 seorang.

Usaha membawa pulang rakyat Sarawak itu turut dibantu Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhamad Shahrul Ikram Yaacob dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Mohamad Nasri Abdul Rahman.

Turut membantu Konsul Kehormat Malaysia di Kepulauan Solomon, Hii Yii Ging; Setiausaha Ketiga Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Papua New Guinea, Mohd Rezza Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Uggah.

Sebelum ini, usaha pemimpin GPS turut berjaya membawa pulang 40 rakyat Sarawak dari Penjara Wilayah Beantey Meachey, di Kemboja kerana kes penipuan pekerjaan serta lapan warga tempatan yang ditinggalkan terkandas di Monrovia, Liberia sejak 4 Februari lalu.