Dilanggar ketika baring atas jalan raya

SIBU: Tindakan baring di atas jalan raya tanpa diketahui tujuannya telah menyebabkan nyawa seorang lelaki yang tidak dikenali melayang apabila dia diseret sebuah kereta di Sibu Jaya awal pagi semalam.

Mangsa tidak dikenali identitinya sehingga berita ini ditulis semalam disahkan mati di tempat kejadian oleh paramedik bergegas ke tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit telah mengesahkan kejadian tersebut.

Beliau memberitahu kemalangan itu berlaku pada jam 4.10 pagi dan mangsa ketika itu sedang baring di tengah-tengah jalan.

“Sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dari bandar Sibu Jaya menghala ke Bulatan Sibu Jaya terlanggar dan mengheret mangsa di tengah-tengah jalan.

“Mangsa mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataannya di sini semalam.

Jelasnya lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kes masih dalam siasatan,” tambahnya lagi.

Suara Sarawak