Dilema kaki pancing

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SEJAK kecil saya terdedah dengan aktiviti memancing kerana kampung halaman di tepi Sungai Sarawak. Walaupun bukan hobi utama, tetapi memancing tetap melekat di hati terutama ketika sahabat seusia begitu galak menangkap udang galah sungai.

Kebanyakan pemancing tidak kira tua atau muda, saya gemar memancing udang yang dikatakan memberi lebih kepuasan, berbanding memancing ikan. Bagaimanapun terdapat segelintir masyarakat menganggap aktiviti memancing membuang masa, tenaga dan wang ringgit. Mana tidaknya, kebanyakan pemancing akan pergi memancing dari awal pagi hingga lewat petang.

Ada pula yang pergi memancing beberapa hari – dari awal minggu hingga hujung minggu. Mereka juga terpaksa meninggalkan anak-anak dan isteri di rumah. Semasa keluar mereka bertenaga, apabila pulang badan kepenatan. Habis tenaga berjemur di tengah panas terik dan kadangkala mandi hujan. Bukan itu sahaja, duit juga banyak dilabur untuk membeli peralatan memancing. Beli umpan, duit minyak, tambang bot, makan, minum, rokok, dan bermacam-macam lagi yang difikirkan perlu untuk dibawa bersama. Ada juga yang habis ribuan ringgit semata-mata hanya untuk keluar memancing.

Joran pula bukan sembarangan, jenis gred A. Jadi, memang benarlah aktiviti memancing ini membuang masa, tenaga, dan wang, terutama bagi mereka yang bukan kaki pancing. Apakah kesan aktiviti ini kepada pemancing? Apa kesannya kepada pembangunan ekonomi dan negara? Apa akan terjadi sekiranya pemancing ini dihalang memancing? Kajian mendapati bahawa pemancing keluar memancing atas beberapa sebab tertentu.

Baca lain  Jadikan sungai kita Venice di timur

Menurut bapa motivasi pemancing Dr. Fedler dan Dr. Ditton, tujuan pemancing keluar memancing bukanlah semata- mata untuk mendapatkan ikan, tetapi untuk mendapatkan rekreasi. Betul ikan adalah sesuatu yang mereka buru, tetapi tujuan utama mereka adalah untuk mendapatkan rekreasi atau santai. Kebanyakan pemancing sendiri tidak sedar tentang hal ini. Rekreasi yang dimaksudkan termasuklah ketenangan, menikmati alam sekitar, untuk bersama-sama rakan selain keseronokan menangkap ikan atau udang. Oleh itu ikan hanyalah tarikan untuk pemancing mendapatkan rekreasi.

Kesan aktiviti memancing kepada masyarakat telah banyak dibincangkan di negara maju. Pemancing akan cuba mendapatkan ketenangan semasa memancing dengan merehatkan badan dan minda iaitu fizikal dan mental. Mereka juga dapat lari daripada rutin kehidupan harian. Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia, telah menjadi kebiasaan bagi rakyatnya untuk keluar memancing pada hujung minggu bersama-sama rakan-rakan atau ahli keluarga.

Cari sahaja di capaian Internet, anda akan dapati setiap lapisan masyarakat, pelbagai peringkat umur dan jantina keluar memancing. Bagaimana pula kesan dari sudut ekonomi? Sudah tentu ia berkaitan dengan wang yang dibelanjakan oleh pemancing. Secara tidak sedar, kawasan yang dikunjungi oleh pemancing akan pesat membangun. Di situ ada orang membuka kedai peralatan memancing, kedai umpan, kedai runcit, menjual makanan dan kuih-muih. Ada juga yang mengusahakan chalet atau inap desa untuk pemancing, dan bermacam-macam lagi aktiviti ekonomi terjana.

Baca lain  Kemarau, jerebu selepas Covid-19?

Ada juga pendapat menyatakan bahawa aktiviti memancing dapat mengurangkan kos perbelanjaan negara iaitu kos rawatan pesakit di klinik dan hospital awam. Mana tidaknya, mereka yang terlibat dengan aktiviti memancing adalah orang yang sihat dari segi mental dan fizikal. Mereka kebiasaannya orang yang lasak dan tinggi daya tahan penyakit. Ia sekali gus menyebabkan mereka kurang ke klinik dan hospital awam untuk mendapatkan rawatan.

Perkara ini ada dinyatakan dalam kajian rekreasi oleh California State Park pada 2005, semasa selebriti tersohor Hollywood, Arnold Schwarzenegger menjadi gabenor di negeri tersebut. Kajian mendapati aktiviti rekreasi dapat mengurangkan tekanan atau depresi, mengurangkan obesiti dan penyakit kritikal lain seperti, serangan jantung, tekanan darah tinggi, diabetis, dan osteoporosis. Negara juga akan mengalami pertambahan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara tidak langsung, apabila negara mempunyai masyarakat yang sihat mental dan fizikal.

Selepas keluar memancing, pada keesokannya, produktiviti di pejabat akan meningkat. Mereka dapat melakukan kerja dengan lebih produktif dan efektif daripada sebelumnya. Oleh itu, apa yang boleh dilakukan dalam menjawab soalan ‘kenapa membuang masa, tenaga dan wang ringgit untuk memancing?’ Di sini ada dua idea, untuk pemancing dan masyarakat umum. Bagi pemancing, mereka seharusnya bijak dalam menentukan keutamaan aktiviti harian. Boleh pergi memancing, tetapi pastikan kebajikan dan kepentingan ahli keluarga diutamakan.

Baca lain  Sosioekonomi Lundu Era 1800-an

Pemancing harus meletakkan tanggungjawab yang tinggi pada keperluan anak dan isteri serta ahli keluarga yang lain. Jika semuanya telah selesai, maka bolehlah pergi memancing – selama mana tempoh yang dirasakan berpatutan, tidak terlalu singkat dan tidak terlalu lama. Pemancing juga harus bijak dalam membelanjakan wang. Bahagikan wang untuk keluarga dan keperluan utama terlebih dahulu. Selebihnya berbelanjalah untuk aktiviti memancing anda dengan berhemah.

Jangan pula hanya kerana joran gred A, keperluan keluarga terabai. Dari segi produktiviti kerja pula, buktikan kepada majikan dan masyarakat sekeliling bahawa pemancing ialah seseorang yang produktif dan efektif dalam melakukan tugasan terutamanya selepas keluar memancing. Manakala bagi masyarakat umum, termasuklah ahli keluarga, rakan dan masyarakat di luar sana, menghormati dan memahami adalah dua perkara yang perlu dititikberatkan.

Menghormati hak pemancing sangat penting. Kita tahu, masa, tenaga dan wang yang dibelanjakan oleh pemancing adalah untuk mendapatkan rekreasi bagi kelangsungan hidup pemancing sebagai warganegara yang bertanggungjawab. Berilah galakan dan sokongan kepada mereka untuk memancing secara positif. Ingatlah bahawa aktiviti memancing jauh lebih baik daripada aktiviti yang tidak bermoral.

Dengan harapan, selepas ini, aktiviti memancing tidak lagi dianggap sebagai membuang masa, tenaga dan wang ringgit, malah dianggap sebagai penyumbang kepada kesan positif bagi pemancing, pembangunan ekonomi dan negara.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Awasi jerat penipu

SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.

Lain-lain

Awasi jerat penipu

SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.