LYDIA AMAN
KUCHING: Seorang lelaki berusia 44 tahun dijatuhi hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Zaidel Ibrahim yang berasal Kampung Lintang selepas satu pertuduhan dibacakan di hadapannya.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini, dan dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 11.30 pagi, 25 Januari lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.