KUCHING: Bekas pekerja kedai serbaneka 24 jam dijatuhi hukuman penjara enam bulan kerana mencuri kad prabayar RM10, kad pra bayar TNG RM200 dan sejumlah wang RM210 milik kedai berkenaan.
Majistret Zaiton Anuar menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Amirul, 23, selepas pertuduhan dibacakan di hadapannya di Mahkamah Majistret di sini, hari ini,
Mahkamah memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan pada 13 November 2021.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Urat Mata di sini, sekitar jam 7.00 pagi, 11 November 2021.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan pengurus stor kedai terbabit mendapati wang simpanan sebanyak RM380 dan wang sebanyak RM210 telah hilang dengan jumlah RM590.
Pengadu kemudian membuat semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh yang merupakan bekas pekerja masuk dengan menggunakan kunci pendua yang masih dalam simpanannya meskipun telah diberhentikan kerja.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.