KUCHING: Padah mencuri sebuah tong gas, seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Osman Watnor, 35, dari Kampung Rampangi, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Mengikut pertuduhan, dia mencuri di dalan sebuah bangunan kediaman mangsa di Taman Budaya, kira-kira jam 5.30 petang, 21 Februari lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Zaiton memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 23 Februari lepas.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, emak pengadu lelaki menyedari tong gas telah hilang dicuri orang.
Bapa tiri pengadu kemudian melakukan semakkan Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki tidak dikenali telah mencuri tong gas tersebut.
Pada 23 Februari lalu, sekitar jam 6.30 petang, pengadu melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di hadapan pagar rumah lalu menangkap tertuduh.
Semakkan pada CCTV lalu, lelaki tersebut merupakan orang yang sama mencuri tong gas milik ibunya.
Pengadu kemudian menelefon pihak polis untuk mendapatkan bantuan seterusnya menyerahkan tertuduh bagi siasatan lanjut.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.