
KUCHING: Padah pukul bapa kandung menggunakan kerusi plastik hingga menyebabkan kecederaan serius, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Seksyen di sini, hari ini.
Tertuduh , 47, dari Kampung Gita Tengah Hilir mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad.
Dayang Ellyn menetapkan tertuduh menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun yang sama, kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap bapanya berusia 77 tahun menggunakan senjata yang boleh membunuh iaitu sebuah kerusi plastik.
Dia melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Kampung Gita Tengah Hilir, kira-kira jam 7 pagi, 5 Jun lepas.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana berkaitan.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, tertuduh telah meludah muka bapanya kerana dimarahi mangsa dan bertindak memukul mangsa menggunakan kerusi plastik dan sebatang kayu.
Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan luka serius di bahagian lengan kiri.
Pengadu kemudian membuat laporan polis seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.
Semasa sebutan kes, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar diringankan hukuman kerana menyesali perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi.
Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohammad Ali memohon agar Mahkamah menggenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana mengambil kira usia mangsa yang telah uzur serta serius kecederaan yang dialami dan mengambil kira kepentingan awam.