KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap jirannya yang berusia 13 tahun.
Hakim Mohd Taufik Mohd@Mohd Yusoff menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 27 tahun selepas didapati bersalah di akhir kes perbicaraan hari ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa duduk di atas badan, memeluk tubuh dan mencium pipi mangsa ketika sedang tidur di kediaman mangsa di Jalan Foo Chow di sini, kira-kira jam 2 pagi, 13 Mei 2021.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta yang sama.
Menurut fakta kes, mangsa membuat laporan polis kerana tertuduh telah melakukan serangan seksual secara fizikal terhadapnya ketika dia sedang tidur dalam bilik bersama kakaknya.
Seramai tiga orang saksi telah dipanggil bagi memberi keterangan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohammad Ali memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh kerana mengambil kira berat kesalahan, kematangan usia tertuduh untuk membezakan betul dan salah, serta kesalahan seksual yang sering dilaporkan media melibatkan mangsa bawah umur.