Dipukul, dikurung dan dijadikan tebusan gara-gara RM19,000

SIBU: Seorang lelaki berusia 24 tahun diperlakukan seolah-olah seperti ‘tebusan’ apabila dia dikurung dan dicederakan gara-gara berhutang lebih RM19,000 di sini, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supritendan Collin Babat dalam satu kenyataannya Khamis ketika mengesahkan kejadian berkata, susulan kejadian itu 11 individu termasuk seorang wanita telah ditahan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, katanya, kakak ipar mangsa berusia 29 tahun telah menerima panggilan dari salah seorang suspek pada 16 Februari lalu yang memaklumkan mangsa yang merupakan adik suaminya telah ditahan serta dikurung mereka kerana gagal melangsaikan hutangnya.

“Suspek terbabit turut menghantar lima klip video yang menunjukkan mangsa dipukul sehingga mengalami kecederaan di kepalanya kepada kakak ipar mangsa,” jelas beliau sambil memberitahu kakak ipar mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.

Rentetan itu, Collin berkata, bertindak atas maklumat pihak polis berjaya mengesan lokasi mangsa dan kemudian menyelamatkannya pada hari yang sama juga.

“Kita menahan kesemua suspek lelaki berusia antara 16 tahun hingga 25 tahun dan seorang wanita berusia 26 tahun. Siasatan awal mendapati kesemua mereka positif dadah,” jelasnya memberitahu polis turut merampas 11 buah telefon bimbit daripada semua suspek.

Ujarnya lagi, kes akan disiasat di bawah Seksyen 386 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 Kanun.

“Ini kerana semua suspek telah memeras ugut dengan menakutkan mangsa dan dalam masa yang sama mengurung mangsa secara salah,” kata Collin.

Suara Sarawak