Disangka pelanduk, abang tertembak adik di Stenggang, Bau

BAU: Aktiviti memburu pelanduk bertukar tragedi selepas adik nahas ditembak abangnya sendiri di hutan Kampung Stenggang, semalam.

Kejadian berlaku selepas kedua-dua mereka berburu di hutan tersebut sekitar 7 malam sebelum berpecah setibanya di lokasi memburu pelanduk, manakala mangsa mencari katak di dalam sungai.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, suspek kemudiannya ditahan di rumahnya sekitar 10.45 malam bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian.
Menurut Poge, suspek mengaku melepaskan satu das tembakan ke arah sungai tempat mangsa berada ketika kejadian.

“Laporan awal suspek mengatakan semasa menunggu pelanduk lebih kurang dua jam dia terdengar sesuatu berbunyi di dalam air sungai dan seperti ternampak kelibat pelanduk lalu melepaskan tembakan ke arah objek.

“Setelah tembakan dilepaskan suspek mendengar jeritan dan selepas diperiksa mendapati adiknya dalam keadaan berdarah dan terlentang di tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dedahnya, jarak di antara mangsa dan suspek semasa tembakan lebih kurang 15 meter.

Suara Sarawak