Disangka tupai, rupanya tertembak nenek

MUKAH: Disangka tupai dalam semak, seorang nenek berusia 58 tahun menemui ajal apabila ditembak dengan senapang angin secara tidak sengaja oleh seorang lelaki sekitar jam 7 malam di Sungai Lemai Kudat, Balingian pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau, berkata, suspek berusia 24 tahun itu pergi memancing berdekatan rumah panjang bapa mentuanya yang terletak di Rumah Panjang Juki Balingian sekitar jam 3 petang.
“Balik dari memancing sekitar 7 malam, suspek ada melihat sesuatu di sebalik semak lalu dengan menyangka ia seekor tupai.
“Seterusnya, suspek melepaskan satu tembakan dengan sebiji guli dan dia tiba-tiba terdengar suara menjerit kesakitan.
“Suspek berjalan ke arah suara berkenaan dan mendapati mangsa yang dikenalinya sebagai Antan keluar daripada kawasan semak yang jarak 10 meter daripada suspek,”katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.
Suspek turut menjelaskan terdapat darah keluar dari mulut mangsa.

Antara barang yang dirampas

Akibat terkejut, beliau menambah suspek bergegas dan berlari ke rumah panjang, memaklumkan perkara tersebut kepada bapa mentuanya.
“Hasil siasatan awal polis mendapati suspek tidak mempunyai lesen senjata dan mengendalikan senjata buatannya sendiri sejak tahun lepas.
“Menerusi temu bual polis bersama-sama penduduk difahamkan nenek berkenaan dikatakan pada awalnya keluar dengan membawa sebungkus plastik sampah untuk dibuang,”katanya lagi.
Polis turut mendapati tiada perselisihan faham berlaku antara suspek dan mangsa serta pemeriksaan di rumah suspek juga mendapati tiada sebarang peralatan lain untuk membuat senjata.
Difahamkan mangsa merupakan nenek saudara kepada isteri suspek.
Manakala ujian saringan air kencing ke atas suspek juga didapati negatif dadah dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Mukah untuk siasatan lanjut.
Turur dirampas ialah selaras senjata senapang angin buatan sendiri panjang lebih kurang 5 kaki 2 inci, satu botol berisi cecair spirit dan 18 biji guli sebagai peluru.
Suspek ditahan reman sehingga 6 Januari dan kes masih dalam siasatan dibawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.