SEHINGGA semalam, sebanyak 28 orang telah ditangkap di Sarawak kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana keluar rumah selepas jam 7 malam.
Polis diberi tanggungjawab memastikan pelaksanaan PKP yang harus dipatuhi masyarakat sehingga 14 April depan dan ia sudah pasti cabaran yang amat tinggi buat pasukan keselamatan termasuk angkatan tentera. Bagi PDRM, masa untuk beri amaran sudah berlalu dan kini mereka akan terus tangkap – itu arahan paling maksimum yang rakyat perlu patuhi.
Ketegasan ini perlu dalam usaha memutuskan rantaian wabak itu. Jangan pandang remeh virus ini. Pandangan seperti itu menyebabkan Itali dan Amerika Syarikat kini menjadi pusat pandemik baharu Covid-19 selepas China.
Malah lebih menakutkan, angka kematian pesakit Covid-19 di Itali kini sudah jauh meninggalkan jumlah kematian di China. di United Kingdom (UK), kajian Imperial College London yang digunakan untuk memaklumkan kerajaan berkaitan situasi Covid-19 mengandaikan sekiranya tiada langkah drastik diambil, 500,000 rakyat UK bakal menunggu maut.
Kajian itu juga menerangkan bahawa jika lambat bertindak dan hanya bertindak selepas Covid-19 menular, wabak itu akan meragut nyawa 250,000 orang. Lebih parah di Itali. Dalam masa 24 jam, negara itu merekod 368 kematian.
Angka itu sungguh dahsyat bagi negara yang memiliki 61 juta penduduk. Apabila PKP dilaksanakan di negara itu, dianggar setengah daripada penduduknya balik kampung dan menyumbang kepada 58 peratus kematian warga emas berusia 80 tahun. Melihat kepada perkembangan ini, disiplin rakyat harus menjadi keutamaan.
Rakyat Malaysia harus berdisplin. Jangan balik kampung dan menyebarkan wabak itu di rumah ibu bapa. Jangan merayau-rayau pada waktu siang tanpa ada tujuan dan sebab kukuh. Basuh tangan setiap kali datang dari luar dan sentiasa menggunakan penutup mulut dan hidung.
Jika bukan anda yang mengguna pakai istilah disiplin diri ini, siapa lagi yang boleh membantu mengelak wabak ini daripada terus menjadi mimpi ngeri kita. Lantaran itulah Kerajaan Malaysia melaksanakan PKP bermula 18 Mac lalu hingga Selasa depan, seterusnya dilanjut hingga 14 April depan dalam usaha memastikan rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan.
Kita berdoa semoga tiada gelombang ketiga walaupun setakat ini sebanyak 23 korban Covid-19 direkodkan – dan terus berdoa sehingga wabak ini sifar dan sirna. Langkah yang dilakukan Kerajaan Malaysia dengan melaksanakan PKP adalah paling tepat.
Tiada cara lain yang mengatasi penularan wabak berkenaan melainkan dengan mengehadkan pergerakan dan hanya tinggal di dalam rumah. Walaupun lebih ramai yang maut kerana penyakit jantung, tetapi wabak Covid-19 sangat berbahaya. Ia virus yang tidak boleh dilihat dengan mata, tidak boleh dihidu dengan bau tetapi boleh merebak secara berleluasa.
Siapa dapat membayangkan pada awal Mac kita berseronok dengan pelbagai rancangan sempena cuti awal semester persekolahan, tetapi pada hari pertama cuti sekolah, kita diarah supaya duduk rumah diam-diam – stay at home – kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.