Diskaun 50 peratus saman trafik

KUCHING: Diskaun bayaran saman trafik sehingga 50 peratus kepada orang ramai akan diadakan sempena pelancaran Ops Selamat Krismas 2019 di Dewan Komuniti Siburan, 18 Disember ini.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak berkata, potongan diskaun itu diberikan kepada semua jenis saman kecuali enam jenis saman yang ditetapkan oleh bahagian trafik.

Menurut beliau, kaunter pembayaran daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di lokasi berkenaan bermula jam 11 pagi hingga 4 petang.

“Orang ramai digalak untuk membuat semakan awal di manamana kaunter polis trafik mengenai butiran saman serta jenis saman bagi mendapatkan diskaun.

“Beberapa jenis saman berkecuali untuk tawaran diskaun termasuk kemalangan, saman berstatus tidak berkompaun, waran semasa, perbicaraan, saman dalam tempoh Ops Selamat dan kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan berat,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din akan menyempurnakan pelancaran Ops Selamat Krismas 2019 pada jam 9 pagi.

Oleh itu, orang awam digalakkan mengunjungi Hari Bersama Pelanggan kerana ia memberi peluang kepada orang ramai bersemuka dengan polis.

Orang awam juga boleh memberikan pandangan bagi membantu mempertingkatkan perkhidmatan polis ketika sesi dialog bersama-sama Pesuruhjaya Polis Sarawak dan ketua-ketua jabatan Polis Kontinjen Sarawak.

Suara Sarawak