KOTA SAMARAHAN: Orang ramai berpeluang membayar saman tertunggak sempena Hari Bersama Pelanggan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Kota Samarahan bermula hari ini hingga esok.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Brodie Brangka berkata, diskaun diberikan sehingga 50 peratus bagi kesalahan trafik terpilih.
“Pembayaran saman boleh dilakukan di kaunter yang dibuka Farley Kota Samarahan dan kaunter trafik IPD Kota Samarahan bermula jam 8 pagi hingga 4 petang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Farley Kota Samarahan di sini, hari ini.

Bagaimanapun kata Brodie Brangka, pengurangan tidak diberikan kepada saman kemalangan, saman lampu isyarat merah, saman berstatus Op Selamat, waran mahkamah dan memotong secara berbahaya.
Selain itu, pengurangan juga tidak diberikan melibatkan saman memotong menggunakan lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, ubahsuai ekzos, saman tidak boleh kompaun (NC) dan kesalahan melibatkan lori.
Berhubung program tersebut, Brodie menjelaskan selain memberikan kemudahan kepada orang ramai, ia turut dijadikan sebagai platform masyarakat menyalurkan bantuan.
“Menerusi program seperti ini, kita dapat mengetahui isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat.
Di samping berusaha menyelesaikan masalah yang berlaku di kawasan pentadbiran IPD Kota Samarahan,” katanya.