MUKAH: Seorang kontrakor ditahan kerana mengganggu penjawat awam menjalankan tugas dan mendatangkan kecederaan terhadap anggota polis di sekatan jalan raya di Simpang Kampung Jebungan Jalan Mukah/Balingan Mukah, pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata, lelaki berusia 53 tahun itu mengganggu dengan memarahi anggota polis tersebut sambil meninggikan.
“Sekitar jam 7.14 pagi di Sekatan Jalan Raya Simpang Kampung Jebungan Jalan Mukah/Balingan Mukah, pihak keselamatan yang bertugas telah didatangi oleh seorang lelaki dalam keadaan marah dengan bersuara tinggi kepada pihak polis.
“Suspek memarahi dan menuduh anggota polis tersebut telah mengeluarkan saman terhadap kenderaan miliknya sebelum ini tetapi disangkal oleh anggota polis tersebut.
“Kemudian pada jam 9.13 pagi, suspek datang semula ke
tempat kejadian dan terus memegang pergelangan tangan kiri pengadu dengan kuat sehingga pengadu mengalami kesakitan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Berikutan itu, mangsa yang dibantu petugas keselamatan lain termasuk anggota Rela dan Angkatan Tentera Malaysia telah menangkap suspek.
Sementara anggota polis berkenaan telah mendapatkan rawatan di Hospital Mukah, jelasnya.
“Siasatan awal mendapati suspek merupakan seorang kontraktor yang mengangkut buah sawit dari Ladang Sebakong Mukah ke Kilang Rinwood Mukah dan memiliki lima lori.
“Suspek bertindak demikian kerana sebelum ini lori miliknya telah disaman oleh pihak polis ketika sedang membawa muatan buah sawit,” katanya.
“Suspek ditahan di lokap Balai Polis Mukah dan permohonan reman akan dikemukakan pada 11 Julai ini,” jelasnya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Dalam pada itu, Rizal turut menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan menggunakan saluran yang betul sekiranya tidak puas hati atas apa-apa tindakan yang telah dikenakan oleh pihak penguat kuasa.