Ditahan sementara tunggu perbicaraan, bapa rogol anak

KUCHING: Seorang pekerja rencam dibicarakan atas tuduhan sumbang mahram terhadap anak kandungnya sendiri ditahan lanjut di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu perbicaraan disambung semula pada 19 hingga 20 September depan.

Hakim Mahkamah Seksyen Marutin Pagan mengarahkan tertuduh berusia dalam lingkungan 40 tahun itu ditahan lanjut di penjara setelah mangsa memberi keterangan dalam mahkamah tertutup semalam.

Tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram terhadap anaknya yang paling tua berusia 13 tahun pada masa kejadian di rumahnya di tingkat atas sebuah rumah kedai di kawasan Matang pada 2 Februari lalu.

Kejadian berlaku setelah tertuduh dan isterinya tidak tinggal bersama kerana pada kejadian itu mereka dalam proses penceraian.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azhari Mohd Yusof manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak