Ditangkap kerana laporan palsu

KUCHING: Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan selepas didapati membuat laporan palsu polis mengatakan dirinya disamun sehingga mengalami kecederaan, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Merbin Lisa berkata suspek didapati membuat laporan dan memberi keterangan palsu selepas siasatan menyeluruh termasuk lokasi dakwaan tempat kejadian dilakukan pegawai penyiasat.

Menurutnya, suspek mengaku disamun dua lelaki tidak dikenali bermotosikal di belakang Restoran Curry House Jalan Rock Kuching pada jam 12.30 malam.

Katanya, akibat kejadian suspek mengaku telah mengalami kecederaan dan kerugian wang tunai serta hilang dokumen peribadi diri seperti kad pengenalan, kad ATM pelbagai jenis bank, kunci rumah dan kunci kedai.

“Hasil siasatan lanjut punca kecederaan sebenar dan hilang barangan peribadi di atas adalah disebabkan perselisihan faham suspek bersama rakan sekerjanya dalam keadaan mabuk ketika pulang dari kerja pada tarikh sama.

“Motif suspek membuat laporan palsu untuk mengelakkan daripada didenda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana ini merupakan kali ketiga dia kehilangan kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suara Sarawak