Ditangkap larikan wang majikan

KUCHING: Seorang penghantar bekalan gas cecair petroleum (LPG) ditangkap setelah melarikan wang hasil jualan barang berkenaan.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditangkap oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan di rumahnya, Kampung Haji Baki lebih kurang jam 12 tengah hari semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan, suspek yang bekerja di PB Mart Sdn Bhd, Batu Kawa melakukan perbuatan itu pada 22 April lalu.

“Pengadu (majikan) telah menyuruh suspek yang merupakan pekerjanya menghantar bekalan gas ke kedai-kedai dan mengutip wang hasil jualan sebanyak RM1,792.

“Suspek telah gagal menyerahkan wang itu kepada syarikat dan terus menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidil berkata suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan untuk dipohon reman di Mahkamah Kuching hari ini.