Ditegur kerana berbogel, anak ugut bunuh ibu

KUCHING: Seorang nelayan yang mengaku bersalah mengugut membunuh ibunya dijatuhkan hukuman penjara dua bulan, semalam.

Majistret Zaiton Anuar mengarahkan nelayan berusia 30 tahun dari Kampung Bako Hulu itu dijatuhkan hukuman penjara dua bulan bermula tarikh tangkapan pada 13 Mac lalu.

Tertuduh mengaku mengugut ibunya dengan bersenjatakan sebilah parang ke arah ibunya yang berusia 53 tahun.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh melakukan kesalahan itu pada jam 7.15 malam di sebuah rumah di Kampung Bako Hulu.

Sebelum itu, ibunya menegur tertuduh yang berbogel setelah selesai mandi tetapi tertuduh marah dengan teguran itu dan mengambil parang sebelum mengugut membunuh ibunya.

Tertuduh ditangkap pada jam 12.15 tengah hari pada 17 Mac lalu untuk membantu siasatan, manakala sebilah parang dirampas sebagai bukti.

Suara Sarawak