Ditembak rakan bukan tertembak diri sendiri

KANOWIT: Polis mengklasifikasikan semula kes pemburu yang mati setelah mangsa dipercayai tertembak diri sendiri ketika berburu di kawasan Hutan Latong di Machan, Kanowit pada 20 Februari lalu sebagai kes pembunuhan.

Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Tega Bilong berkata, tindakan itu diambil berikutan pengakuan suspek yang mengaku menembak mangsa yang dikenali sebagai Patrick Nyanau berusia 30 tahun secara tidak sengaja pada hari kejadian.

“Mengikuti nasihat ahli patologi selepas bedah siasat, polis melakukan siasatan lebih lanjut ke atas suspek yang kemudian mengakui bahawa dia secara tidak sengaja menembak mangsa semasa memburu,” katanya sebentar tadi.

Pada hari kejadian, mangsa bersama-sama tiga rakannya termasuk suspek, pergi berburu di kawasan hutan tersebut kira-kira jam 8 malam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 304 (A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai,” ujar Tega.

Suara Sarawak