ARTIKEL

Ditusuk pada muka dan leher, pengawal keselamatan Tadika maut

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Seorang pengawal keselamatan di sebuah Taman Didikan Asuhan Kanak-Kanak (TADIKA) di Taman Tunku di sini ditemukan meninggal dunia dengan beberapa tusukan pada muka dan leher.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya telah menerima laporan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 9.30 pagi semalam.

“Pihak polis telah menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan terdapat seorang lelaki ditemukan terbaring di hadapan pondok dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Susulan itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Miri telah bergegas ke tempat kejadian.

“Hasil pemeriksaan di kawasan tersebut telah menemukan seorang lelaki terbaring di atas tanah dengan beberapa tusukan pada muka dan leher.

“Namun setelah diperiksa, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ekoran daripada kejadian tersebut, BSJD Miri telah menahan seorang lelaki tempatan untuk membantu siasatan.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh, dan kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Alexson pada masa sama menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kes ini kerana dikhuatiri akan menganggu siasatan.

Bagaimanapun katanya, individu yang mempunyai sebarang maklumat lanjut berkaitan insiden ini diminta untuk tampil ke Balai Polis yang berdekatan untuk membantu siasatan atau menghubungi ASP Dorairajah di talian 085-433730 untuk menyalurkan maklumat berkaitan.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU