ARTIKEL

Penyanyi legenda Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih dikenali sebagai DJ Dave menyumbang kembali hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 yang diterimanya daripada Rotary Club of Ara Damansara (RCAD) kepada surau, gereja dan tiga kuil. --fotoBERNAMA

DJ Dave sumbang wang anugerah diterima kepada surau, gereja dan kuil

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Penyanyi legenda Datuk Irwan Shah Abdullah atau lebih popular sebagai DJ Dave, mengambil inisiatif untuk menyumbang semula hadiah wang tunai RM10,000 yang diterimanya daripada Rotary Club of Ara Damansara (RCAD) kepada surau, gereja dan tiga kuil.

Hadiah itu dimenangi Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT), selepas dipilih sebagai penerima Anugerah Special Award for Unity kelab itu baru-baru ini, di atas kepimpinannya dalam projek lagu patriotik bertajuk ‘Setia Perpaduan’.

Pelantun lagu Kini Ku Menangis Lagi itu berkata keputusan mendermakan hadiah itu bertujuan untuk memupuk lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum, di negara ini.

“Saya mahu memupuk satu amalan yang baik kepada semua (orang), kita perlu saling menghormati antara satu sama lain. Saya fikir eloklah kalau ia (hadiah itu) diagihkan (kepada) pelbagai pertubuhan agama dan sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, saya akan terus menderma kepada pelbagai badan amal demi perpaduan negara.

“Saya juga berharap tindakan ini akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjalani cara hidup yang muhibah sebagai rakyat Malaysia sejati dan berusaha ke arah negara yang bersatu tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan sumbangan tersebut di sini hari ini.

Penerima sumbangan itu ialah Surau An-Nur, Bandar Menjalara; Canossa Convent Welfare Centre, Jinjang Utara; Choong Wan Koong Temple, Pudu; Persatuan Pengurusan Kuil Subramania Swami, Shah Alam; dan Gurdwara Sahib Selayang, dengan masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM2,000.

Sementara itu, Presiden RCAD David Cheah Yik Qin berkata pihaknya menyambut baik keputusan yang diambil DJ Dave itu, dan menyifatkan tindakan penyanyi popular tahun 70-an itu sebagai satu amalan mulia.

“Tindakan DJ Dave yang pemurah dan tidak mementingkan diri itu, telah memberikan impak yang mendalam kepada kami semua Rotarians, dan juga seluruh rakyat Malaysia. Sumbangan beliau dalam memupuk perpaduan dan keharmonian beragama mengesahkan lagi keputusan RCAD menamakan beliau sebagai penerima Anugerah Khas untuk Perpaduan, adalah tepat.

“DJ Dave, terima kasih kerana memberikan kami inspirasi dengan hati emas anda, dan mengingatkan kami makna sebenar menjadi rakyat Malaysia,” katanya. – BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU