KUCHING: Dokumentari bertajuk Bujang Berani yang bakal ditayangkan di TVS sempena Hari Sarawak membawa masyarakat memperingati pengorbanan pasukan penyelamat semasa berkhidmat untuk negara dalam mencapai keamanan dan kemerdekaan.
Pengarah Dokumentari Bujang Berani Yusmal Ghazali berkata, objektif utama dokumentari tersebut ialah mempamerkan kisah-kisah patriot di Sarawak dan mengetengahkan tentang pasukan keselamatan dalam pertempuran yang berlaku di Semenanjung Malaysia dan Sarawak semasa zaman komunis.
“Dokumentari ini dibahagikan kepada enam episod, setiap episod akan berlangsung 30 minit yang memaparkan zaman paling mencabar dalam sejarah pertahanan negara iaitu zaman darurat.
“Episod pertama bertajuk Penjejak Iban lebih dikenali berlaku di Semenanjung Malaysia iaitu peristiwa pemberontakan Parti Komunis Malaya dari tahun 1968 hingga 1989. Manakala, episod kedua Pengakap Sempadan pemberontakan Parti Komunis Kalimantan yang berlaku dari tahun 1962 hingga 1990.
“Bagi episod ketiga (pasukan gerakan khas komando), episod empat (pasukan polis hutan), episod lima (batalion pertama Rejimen Bridger Diraja) dan episod enam (Batalion Ketiga Rejimen Bridger Diraja) lebih fokus kepada intergensi di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media TVS Live Hari Sarawak 2021 secara dalam talian, hari ini.