SARIKEI: Jawatankuasa Pengurusan Tinggi Downtown serius dalam memastikan makanan dan minuman yang dijual kepada orang ramai di tapak itu mematuhi sepenuhnya standard dan peraturan keselamatan makanan.
Pengerusinya Allif Omar Yunus berkata, langkah tegas itu bertujuan menjamin kualiti dan kebersihan makanan yang dijual, sekali gus melindungi kepentingan pengguna.

Katanya, operasi jualan bermula 2.00 petang sehingga jam 10 malam dan makanan yang disediakan tidak boleh lebih enam jam sebelum sesi jualan bermula.
“Syukur setakat ini belum menerima sebarang aduan makanan basi atau tercemar.

“Bagaimanapun, kita sentiasa mengalu-alukan pandangan orang ramai berhubung perkara ini supaya penambahbaikan dapat dilakukan,” katanya kepada Suara Sarawak.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abd Wahab berkesempatan meninjau sambil menyantuni penjaja di tapak berkenaan, semalam.
Bazar PosaRaya Downtown mempunyai sebanyak 145 gerai melibatkan jualan makanan, minuman, pakaian dan aksesori.
Operasi pusat niaga itu dianjurkan bersama-sama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, Pusat Khidmat Parlimen P.206 Tanjong Manis dan Tabung Haji Cawangan Sarikei.