Dr Annuar di Parlimen Sibu?

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Dr Annuar Rapaee
Dr Annuar Rapa’ee

APABILA Adun Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Sibu, ia sebenarnya mencetus “perhatian” dan “kegemparan” banyak pihak.

Adakah beliau sebenarnya berseloroh, atau menghantar mesej tajam kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), agar berbuat sesuatu untuk memastikan Parlimen tersebut kembali digenggam Gabungan Parti Sarawak (GPS)

Namun realitinya, Dr Annuar sebenarnya ada hak dan memiliki alasan yang jelas dan wajar apabila mengungkapkan kenyataan tersebut.

Sebab sebahagian daripada Parlimen Sibu adalah kawasan jagaannya, Dun Nangka.

Dua lagi kawasan ialah Dun Bawang Assan dan Dun Pelawan.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 yang lalu, Dr Annuar mengutip 12,059 undi untuk muncul pemenang di Dun Nangka, dengan majoriti 10,804 undi.

Manakala di Dun Pelawan, Michael Tiang daripada SUPP berjaya merampas kerusi tersebut dari David Wong Woan daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), apabila mencatat majoriti 99 undi.

Sementara Datuk Seri Wong Soon Koh (Parti Sarawak Bersatu) mengekalkan penguasaannya di kerusi Dun Bawang Assan apabila mencatatkan 5,952 undi, menewaskan cabaran Robert Lau Hui Yew daripada SUPP (GPS) yang membawa pulang 5,039 undi.

Berdasarkan keputusan tersebut, amat wajar Dr Annuar mencabar SUPP untuk melepaskan kerusi tradisinya itu.

Mungkinkah hanya dengan menyerahkannya kepada PBB, kerusi itu boleh dirampas kembali? Calon penyandang untuk kerusi Parlimen ini kini ialah Oscar Ling Chai Yew (DAP), yang pada 9 Oktober lalu meraikan ulang tahunnya yang ke-45.

Pada 2018, beliau mempertahankan kerusi tersebut apabila merekodkan 33,811 undi, menewaskan calon Barisan Nasional, Wong Kee Yew (22,389 undi); Tiew Yen Hung – PEACE (377 undi) dan Tiong Ing Tung (STAR) yang sekadar membawa pulang 176 undi.

Ia kemenangan kedua Oscar, setelah pada tahun 2013, ketika berusia 36 tahun, menakluki kerusi tersebut, dengan menumpaskan veteran politik SUPP, Vincent Lau Lee Ming dengan majoriti 2,841 undi.

Oscar ketika itu dipilih menggantikan penyandang kerusi tersebut, Wong Ho Leng (DAP), yang “kurang sihat”, setelah sebelumnya merampas kerusi tersebut daripada calon BN (Robert Lau, Jr), dalam Pilihan Raya Kecil 2010, susulan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew (BN).

Untuk rekod, mendiang Robert Lau merupakan ahli Parlimen di Parlimen Sibu sejak 1990. Dengan rekod PRN Sarawak menjadi taruhan, serta sentimen dan trauma yang masih wujud selepas 22 bulan Pakatan Harapan memerintah, tidak mustahil sebenarnya untuk GPS merampas kerusi tersebut pada kali ini.

Di atas kertas, seramai 105,470 pemilih layak melakukan pilihan pada kali ini. Ia bukan laluan mudah bagi Oscar, yang perlu bekerja keras jika ingin mengekalkan kedudukannya.

Beliau pasti sedar bahawa beliau kini berada di kawasan yang kesemua Dunnya bukan milik DAP, dan ini menghadirkan dugaan dan kegusaran yang tidak sedikit.

Dan laluan itu semakin perit sebenarnya, jika saingan hadir daripada “parti-parti besar”, ada penyokong ramai dan kewangan yang kuat.

Harus diingat, semakin ramai calon, maka semakin pecah undi, dan ini memberi merit kepada calon GPS.

Setakat kelmarin, antara yang telah menyatakan hasrat untuk mencabar kerusi ini ialah Soon Koh. Manakala di pihak SUPP, ada tiga nama yang kini sedang menjalani tapisan akhir.

Antara nama yang disebut-sebut termasuklah Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting, yang juga pengerusi SUPP Pelawan.

Nama lain yang turut ditapis ialah Tony Hii (SUPP Bawang Assan) dan Daniel Sng (SUPP Nangka).

Berdasarkan senarai pemilih berdaftar pada 2018, kerusi ini mempunyai 63 peratus pengundi Cina, 25 peratus pengundi bumiputera bukan Islam dan 12 peratus pemilih bumiputera Islam.

Seperti kawasan lain, kerusi ini juga mempunyai jumlah pengundi baharu dan muda yang besar, terutama mereka yang berusia sekitar 18 ke 21 tahun.

Justeru pemilihan calon pada kali ini bagi GPS perlu mengambil kira perkara ini. Oscar berusia 45 tahun, dan sebaik-baiknya calon yang diangkat adalah dalam lingkungan usia yang sama, seperti juga mereka mengangkat Michael Tiang di Dun Pelawan, yang akhirnya menghadirkan kemenangan kepada parti itu.

Jika GPS berani bertindak di luar kotak, tidak salah untuk Dr Annuar diangkat ke Parlimen.

Beliau bukan sahaja mampu memberikan kelebihan 10,000 undi yang dimilikinya pada Dun Nangka lalu, tetapi mungkin boleh menambat sokongan kelompok bumiputera, terutama dari Dun Bawang Assan dan Dun Pelawan.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Venue pemburu menu

BERKONGSI juadah dengan jiran, sepanjang Ramadan menjadi amalan penduduk kampung

Siapa diktator?

BARU-BARU ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa