Dr Mahathir cuba bawa pemerintahan baru untuk selesai kemelut politik

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad akan cuba membawa pemerintahan negara yang tidak memihak kepada mana-mana parti, dengan hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

“…. Politik dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar, saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti.

“Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan,” kata Perdana Menteri interim dalam perutusan khasnya hari ini, yang disiarkan secara langsung oleh rangkaian televisyen utama.

Dalam perutusan itu, Dr Mahathir juga menjelaskan punca beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, Isnin lepas.

Menurutnya, antara sebab utama ialah beliau tidak dapat menerima, jika parti UMNO menyertai kerajaan campuran, yang mungkin diwujudkan.

“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai kerajaan campuran ini sebagai Parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan,” kata Dr Mahathir.

Beliau menambah bahawa sebab orang politik dan parti politik terlalu utamakan politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan, yang mengancam negara, jika diizinkan, inilah yang beliau akan cuba (adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana parti).

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bersambung menerima menghadap Ahli Parlimen untuk menilai sendiri situasi politik di negara.

Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima menghadap 90 Ahli Parlimen semalam dan bakinya hari ini pada sesi kedua.

Sementara itu, Seri Paduka selepas berkenan menjamu media yang berkampung di luar Istana Negara dengan makanan segera Kentucky Fried Chicken dan McDonalds pada Isnin dan Selasa, hari ini menjamu mereka dengan nasi dengan ikan patin tempoyak, yang dibawakan khas daripada Temerloh, Pahang untuk makan tengah hari.

Dalam perkembangan lain, Pakatan Harapan, yang pada masa ini terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah selepas Bersatu mengumumkan keluar pakatan itu, dalam satu sidang media di PETALING JAYA, mengumumkan bahawa mereka telah memutuskan untuk mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri.

Di selatan tanah air pula, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri di Johor telah dipanggil menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, berkaitan dengan perkembangan politik di negeri itu.

Namun demikian, dalam situasi politik yang melanda negara, Malaysia terus berjalan seperti biasa dan tidak ada ‘drama politik’ dilaporkan di seluruh negara.

Dalam perkembangan bukan politik hari ini, satu lagi penerbangan telah membawa pulang kumpulan kedua rakyat Malaysia dari Wuhan, China, pusat wabak COVID-19.

Pesawat AirAsia dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan oleh kerajaan Malaysia, tiba pada jam 6.50 pagi. Pesawat itu berlepas ke Wuhan dari KLIA2 pada 5.58 petang semalam.

Seramai 66 orang, termasuk kanak-kanak dibawa pulang melalui penerbangan khas itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe pada jam 1.45 pagi tadi.

— BERNAMA

Suara Sarawak