ARTIKEL

Abang Johari (empat kiri) bergambar bersama Norisah (empat kanan) dan Jaul (tiga kiri) seusai menyampaikan anugerah utama kepada kedua-dua pesara guru tersebut. - Foto: Ramidi Subari

Dr Norisah Suhaili Tokoh Kepimpinan Pendidikan, Jaul Bunyau Tokoh Guru Kebangsaan pada Majlis Anugerah Pendidikan Sarawak 2024

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Anugerah Pendidikan Sarawak Tahun 2024 menyaksikan dua guru pesara, iaitu Dr Norisah Suhaili dan Jaul Bunyau, merangkul anugerah utama masing-masing bagi Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan.

Norisah, yang bersara wajib pada 23 Julai 2023, pernah menerima pelbagai anugerah dan pingat sepanjang berkhidmat dalam bidang pendidikan, termasuk menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang Emas oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak 2021 dan Pingat Johan Mangku Negara oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong 2023.

Selain itu, beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 1992, 2011, 2019, Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak Kategori Guru Sekolah Menengah Kesuluruhan 2001, Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak Kategori Pengetua Cemerlang 2019 dan lain-lain.

Sedikit latar belakang tentang pendidikan beliau, Norisah merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) 1987 Universiti Kebangsaan Malaysia sebelum meneruskan Diploma Pendidikan pada 1988 di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Seterusnya, beliau mengambil Sarjana Pendidikan (Curriculum Instruction) 1996 di University of Houston, Texas di Amerika Syarikat, seterusnya mendapatkan ‘National Professional Qualifications for School Headship’ (NPQH) Institut Aminuddin Baki (2000) dan akhirnya mengambil Ijazah Kedoktoran (Kurikulum) 2008 di Universiti Islam Malaysia.

Beliau bermula sebagai seorang guru aademik pada 1989 di SMB St. Joseph, Kuching (1989-1995), kemudian dilantik sebagai Penolong Kanan (HEM) Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah (1997-2000) dan Penolong Kanan (HEM) SMK St Teresa, Kuching (2000-2003).

Kerjaya beliau diteruskan sebagai guru akademik di SMK Petra Jaya (2008) sebelum diangkat sebagai Pengetua SMK Pusa, Betong (2008-2012), diikuti Pengetua Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (2013-2020).

Pada 7 Disember 2020, beliau dilantik untuk memegang portfolio sebagai Pengarah Pendidikan Sarawak dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia pada 1 Mac 2022 sebelum bersara wajib.

Sementara, Jaul Bunyau juga pernah merangkul pelbagai anugerah, termasuk Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum pada tahun 2012, Anugerah Pegawai Contoh Perkhidmatan Awam (Kategori Kumpulan Pengurusan dan Profesional) Kerajaan Negeri Sarawak 2016, Anugerah Ikon Guru Peringkat Negeri Sarawak 2015, dan Anugerah Khas Ketua Menteri Sarawak (Kategori Guru Besar Paling Cemerlang) 2007 dan 2019.

Selain itu, beliau turut mencapai kejayaan sebagai Johan Pembentang Program ‘Commonwealth Education Good Practice Awards 2009’ dan Johan Pembentang Program ‘UNESCO Wenhui Awards For Educational Innovation 2011’ sebelum bersara wajib pada 15 Julai 2023.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sekali gus menyempurnakan majlis pengiktirafan berkenaan.

Pada majlis yang sama, seramai 22 guru turut menerima anugerah dalam empat kategori yang ditawarkan, iaitu Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Berwibawa, dan Anugerah Ikon.

Sementara itu, lima guru menerima Anugerah Khas Pendidikan, iaitu Medylen Pait (Anugerah Pencipta Kandungan Digital), Lee Siau Ken (Anugerah Kesukarelawanan), Razeli Sirat (Anugerah Kepimpinan – Rendah), Raja Manikam Subramaniam (Anugerah Kepimpinan – Menengah) dan Mohd Nur Hifzhan Noordan (Anugerah Guru Gigih Pedalaman).

Dalam ucapannya, Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad, berkata majlis penganugerahan ini diadakan bertujuan mengiktiraf sumbangan dan jasa guru-guru yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Sekali gus, bagi meningkatkan semangat dan motivasi guru-guru untuk terus berusaha dan berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya.

Majlis turut dihadiri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, dan tetamu kehormat lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU