Dr Sim: RUU lulus, kemenangan rakyat Sarawak

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2020 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini adalah kemenangan bagi rakyat Sarawak, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Ujarnya, pindaan tersebut amat penting kerana Sarawak satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai undang-undang untuk memastikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) adalah rakyat asal negeri.

“Hari ini sangat bermakna untuk rakyat Sarawak kerana pertama kali, Dun hanya layak untuk anak jati Sarawak.

“Ini kerana tujuan pindaan RUU ini adalah untuk memperketatkan undang-undang agar Dun selamanya berada di tangan rakyat Sarawak.

“Ia tidak melonggarkan undang-undang seperti yang diberitahu oleh pihak tertentu,” katanya dalam sidang media sempena persidangan Dun, di sini, hari ini.

Dr Sim yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menegaskan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan SUPP khususnya sentiasa berjuang untuk memperjuangkan hak rakyat Sarawak untuk manfaat generasi akan datang.

Pindaan RUU itu dibentangkan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan diluluskan Speaker Dun Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar selepas mendapat sokongan majoriti ahli dewan.

Ia bertujuan meminda syarat kelayakan umur menjadi Adun dan memperjelas takrifan ‘penduduk di negeri’ bagi terus melindungi hak serta kepentingan negeri dengan tidak akan membiarkan orang bukan Sarawak campur tangan dalam urusan politik.

Suara Sarawak