Dron beri hebahan, peringatan berkesan di lokasi hotspot Covid-19

KUALA LUMPUR: Penggunaan dron oleh pihak berkuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga terbukti berkesan dalam memberi hebahan serta peringatan kepada orang ramai agar terus patuh dengan arahan itu bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Mula diperkenal penggunaannya sejak fasa pertama PKP lagi, teknologi itu diguna pakai sepenuhnya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyampaikan maklumat selain memantau pergerakan orang ramai.

Dron yang digunakan kedua-dua pasukan ini dilengkapi dengan pembesar suara yang akan menghebahkan pesanan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Tamil, kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah.

Lokasi-lokasi utama penggunaan dron adalah kawasan ‘hotspot’ kes COVID-19 serta lokasi yang telah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti Simpang Renggam di Kluang Johor, Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor serta sekitar Masjid India di sini.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata penggunaan dron diteruskan pada fasa ketiga PKP kerana ia berkesan dalam memberi hebahan serta memastikan orang ramai terus mematuhi perintah itu.

“Pengunaan dron memang kita (ATM) teruskan lebih-lebih lagi untuk menentukan kawalan pergerakan ini dipatuhi sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.

Affendi bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan dron yang digunakan oleh ATM dan PDRM dalam tempoh PKP.

Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Supt Rasha Azaldin Shafii berkata penggunaan teknologi dron sememangnya berkesan dan mencapai objektif terutama dalam aspek memberi hebahan dan peringatan.

Beliau berkata PDRM telah ditugaskan untuk bertindak sebagai peneraju dan koordinator pengoperasian dron bagi ATM dan semua agensi swasta.

“Bilangan dron sedia ada dikekalkan dalam penugasan PKP pada fasa ketiga ini dan penugasan dron turut tertumpu di kawasan pasar, taman perumahan dan kampung di seluruh negara,” katanya.

Rasha Azaldin berkata pihaknya turut mengambil gambar serta merakam video di lokasi-lokasi penugasan PKP untuk membantu anggota daripada ibu pejabat polis daerah serta ibu pejabat polis kontinjen merancang tugas penguatkuasaan.

Pada 23 Mac, Bernama melaporkan ATM dan PDRM melancarkan penggunaan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau PKP yang dilaksana sebagai usaha membendung wabak COVID-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata penggunaan dron membantu penugasan anggota di kawasan zon merah COVID-19.

Suara Sarawak