Dron pantau pergerakan komuniti

MIRI: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menyediakan dron dan kenderaan kepada agensi keselamatan bagi memantau pergerakan komuniti dengan lebih berkesan sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penyediaan aset berkenaan memudahkan pasukan keselamatan berhubung dengan lebih cepat mengenai masalah berkaitan Covid-19.

“Pasukan keselamatan meminta kita membantu dari sudut penambahan aset dan Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memberi dron serta kenderaan bagi memudahkan mereka berhubung dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar Taklimat Pengurusan Bencana Bahagian Miri di Covid-19 di sini pada Khamis.

Menurut Abang Johari lagi, ketika ini bilangan anggota penguatkuasaan seperti polis, tentera, Rela serta agensi lain akan ditambah untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi.

Mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan komuniti di Daerah Beluru, Abang Johari berkata, ia disebabkan budaya atau amalan rumah panjang.

“Kita tidak berniat mengganggu budaya rumah panjang namun kita mahu komuniti berdisiplin dan bersama kerajaan memerangi penularan pandemik Covid-19.

“Jadi, saya meminta tuai rumah dan ketua masyarakat mematuhi SOP selama 14 hari bagi membantu kerajaan memutuskan rantaian Covid-19,” jelasnya.

Tegasnya, bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19, ia memerlukan disiplin tinggi dalam kalangan masyarakat kerana virus maut ini sangat aktif dalam komuniti. “Kita akan memberi bantuan kepada mereka melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan apa-apa sahaja keperluan mereka, kerajaan akan bantu,” ujarnya.

Abang Johari turut memberi penghargaan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan petugas barisan hadapan bagi memerangi Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya berterima kasih dengan semua petugas barisan hadapan yang cemerlang dalam tugas termasuk petugas kesihatan, termasuk agensi berpakaian seragam serta masyarakat yang bekerjasama dengan JPBNS.

“Saya menggesa supaya rakyat menjaga diri kita, dalam masa kita masih menunggu vaksin. Kita harap dalam masa enam bulan ini, kita dapat melihat keadaan kembali pulih,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan memberi vaksin secara percuma kepada semua rakyat negeri ini bagi menurunkan kes Covid-19 dalam komuniti.

Abang Johari turut menyampaikan replika cek kepada Masjid Darul Ehsan bernilai RM756,620. Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion serta menteri-menteri kabinet Sarawak.