KUCHING: Dua ahli rombongan Senator Abun Sui Anyit bernasib baik apabila selamat selepas kenderaan mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 65 Jalan Bakun – Bintulu.
Menurut Abun yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika mereka dalam perjalanan balik dari Sungai Asap ke Miri, selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Keadilan Hulu Rajang 2023.
“Kami menaiki dua kenderaan, kereta yang saya naiki tidak terlibat, hanya kereta pengiring saya dan ada dua orang di dalamnya.
“Syukur kerana mereka selamat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Justeru, Abun mendakwa antara punca kemalangan itu adalah keadaan selekoh Jalan Persekutuan berkenaan yang penuh dengan lopak air, sistem perparitan tidak diselenggara dan permukaan jalan yang tidak rata.
“Hujan lebat petang semalam menyebabkan terjadinya lopak air.
“Walaupun kelajuan lebih kurang 70 kilometer sejam sahjaa, masih juga terjadi kemalangan kendiri,” katanya.
Beliau menambah berdasarkan maklumat daripada orang awam yang selalu melalui jalan tersebut, kemalangan di kawasan kilometer 65 itu sudah menyebabkan kematian dua orang setakat ini.
“Kemalangan kecil seperti ini sudah banyak.
Pihak berkaitan jalan boleh merujuk laporan pihak polis untuk mengetahui rekod yang lebih tepat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan Kementerian Kerja Raya untuk menyemak semula dan memantau penyelenggaraan Jalan Persekutuan itu.
“Kalau boleh, kerajaan diminta membaiki dan menaikkan kualiti jalan ini dari semasa ke semasa.
“Jika perlu tukar kepada kontraktor yang lebih baik untuk menyelenggara jalan ini kerana jalan ini semakin lama semakin buruk, bukan semakin baik.
“Jika tidak, kemalangan tetap akan berlaku akibat keadaan jalan yang buruk atau tidak mengikut standard ini,” tegasnya.