Dua atlet Sarawak sumbang perak

ATLET dari Sarawak, Welson Sim Wee Sheng dan Jackie Wong Siew Cheer meraih pingat perak dalam acara masing-masing pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina lewat petang tadi.

Hasrat Welson untuk meraih kilauan emas dalam acara renang 200 meter gaya bebas tidak kesampaian apabila tewas kepada perenang Singapura, Darren Chua Yi Shou.

Welson tewas tipis apabila mencatat kepantasan 1 minit 48.52 saat, berbanding Darren Chua dengan catatan 1 minit 48.26 saat.

Begitu juga dengan Jackie Wong yang agak hampa apabila kalah kepada atlet Thailand, Kittipong Boonmawan yang meraih emas.

Jackie melakukan lontaran sejauh 63.83 meter, berbanding Kittipong yang melakukan lontaran sejauh 67.56 meter iaitu rekod baharu Sukan SEA.

Sementara itu, seorang lagi atlet dari Sarawak, Jonathan Nyipa gagal menyerlah dalam acara akhir olahraga 200 meter yang dimenangi atlet Thailand, Chayut Khongprasit dengan catatan 20.71 saat.

Seorang lagi atlet Malaysia, Russel Alexander Nasir Taib hanya mampu meraih gangsa dengan catatan 21.11 saat.