ARTIKEL

Dua beradik dipenjara 10 tahun rompak bersenjata

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LYDIA AMAN

KUCHING: Dua adik beradik perompak tegar masing-masing dijatuhi hukuman penjara sepuluh tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merompak seorang wanita berusia 44 tahun menggunakan sebilah parang dalam satu kejadian di tempat letak kereta Pending Height, Mei lalu.

Norsyahrul Ikhmal Haierul, 25, dan Mohamad Nurulhisyam Haierul, 23, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Musli Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata berbahaya sebilah parang terhadap seorang wanita dengan mengambil beg tangan berisi kad pengenalan, lesen memandu, kad insuran, dua unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM3,800 dan rantai emas berharga RM2,500.

Mereka secara bersama melakukan rompakan bersenjata di tempat letak kereta di Pending Height, Jalan Kuching By-Pass, kira-kira jam 3.20 petang, 26 Mei lalu.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan secara bersama Seksyen 397 kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, pengadu sedang menyimpan barang dalam bonet kereta telah didatangi dua orang lelaki yang menaiki sebuah motosikal. 

Pembonceng motosikal terbabit menghampiri mangsa kemudian salah seorang daripada mereka mengacukan sebilah parang lalu merampas beg tangan mangsa.

Anggaran kerugian yang dialami mangsa sekitar RM7,000.

Laporan polis dibuat oleh mangsa untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Difahamkan, kedua-dua tertuduh mempunyai beberapa rekod lampau melibatkan kes rompak dan memiliki harta curi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Norsyahrul Ikhmal Haierul turut dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana merompak seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun pada 12 Mei lalu.

Hakim Maris Agan menjatuhkan hukuman sebaik sahaja Norsyahrul mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia bersama yang lain melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun dengan mengambil kad ATM mangsa berdekatan sebuah bistro, sekitar jam 5.30 pagi, di Jalan Song, 12 Mei lalu.

Menurut fakta kes, ketika kejadian, mangsa berjalan kaki berhampiran sebuah bistro didatangi dua lelaki tidak dikenali lalu menarik beg sandangnya. 

Selain itu, tertuduh juga memukul badan mangsa menggunakan sebatang kayu hingga menyebabkan terjatuh selain kedua-dua lelaki berkenaan terus melarikan diri menggunakan sebuah motosikal.

Barang-barang mangsa turut hilang seperti kad pengenalan, kad ATM, dompet, wang tunai RM80 dan kunci rumah.

Laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut dan hasil siasatan mendapati tertuduh telah menggunakan kad ATM mangsa untuk membeli barang di beberapa buah kedai di kawasan Satok, Sentral Park dan beberapa kawasan lain.

Tertuduh juga mengaku telah membuang barang-barang mangsa selepas digunakan di Sungai Midin. 

Pendakwaan kes dikendalikan secara berasingan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruvinasini Pandian, dan Norshafatihah Nor Azmi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

Penunggang motosikal maut rempuh kenderaan polis

ALOR GAJAH, Melaka: Seorang penunggang motosikal meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka selepas dipercayai merempuh kenderaan polis yang sedang menjalankan rondaan Op Cegah

BERITA TERBARU