Dua beranak rentung dalam kebakaran rumah di Sekaan Kecil

MATU: Dua beranak rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah papan di Kampung Sekaan Kecil, awal pagi tadi.

Mangsa dikenali Sedeh Sahari dan Remlah Mesie yang masing-masing berusia 84 dan 58 tahun.

Ketua Kampung Sekaan Kecil, Yusuf Ros berkata, ketika kejadian mangsa sedang nyenyak tidur dan terperangkap di dalam rumah itu ketika api sedang marak.

“Sementara seorang lagi penghuninya terselamat apabila sempat terjun dari tingkap untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Suara Sarawak.

Yusuf berkata, punca sebenar kejadian tidak diketahui namun, ia dikatakan bermula dari bahagian dapur rumah.

Pada masa yang sama katanya, kejadian turut memusnahkan sebuah rumah berhampiran namun kesemua empat penghuninya terselamat.

“Kejadian ini menggemparkan penduduk kampung kerana berlaku kira-kira jam 2.00 pagi. Ia berlaku dalam tempoh yang amat pantas.

“Saya difahamkan, mayat sudahpun dijumpai oleh pasukan Bomba,” ujarnya.

Suara Sarawak