ARTIKEL

Pembantu Khas Ahli Parlimen Kuching, George Lam mengunjungi ibu dan anak yang tinggal di tepi Jalan Green.

Dua beranak warga asing terpaksa jadi gelandangan dihantar ke pejabat konsulat Indonesia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dua beranak warga asing yang tular kerana terpaksa menjadi gelandangan dan tinggal di tepi Jalan Green, dihantar ke pejabat konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching pada Rabu.

Kisah ibu dan anak lelakinya yang merupakan warganegara Indonesia terpaksa tinggal di jalanan kerana masalah menyewa rumah itu terdahulu tular di media sosial, Tiktok pada Rabu.

Menurut Pembantu Khas Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr. Kelvin Yii, George Lam, pihaknya terus mencari dua beranak tersebut selepas dimaklumkan bahawa mereka datang ke Kuching untuk mencari pekerjaan.

“Kami segera menghubungi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas melihat gambar dan video yang tersebar di media sosial , selain ke tempat kejadian menghulurkan bantuan.

“Difahamkan disebabkan mereka warga Indonesia, dan memiliki dokumen perjalanan sah, mereka tidak dapat ditempatkan di pusat perlindungan JKM.

“Oleh itu, dua beranak tersebut hanya boleh dibawa ke Konsulat Indonesia untuk pihak sana menguruskan urusan mereka pulang ke kampung halaman,” katanya selepas mengunjungi dua beranak tersebut di Jalan Green, pada Rabu.

Ujarnya, pegawai JKM turut ke lokasi untuk membawa ibu dan anak itu ke Konsulat Indonesia bagi memudahkan urusan mereka.

Beliau turut memuji semangat tolong-menolong dan kerjasama yang diberikan oleh warga Kuching yang sanggup menyediakan makanan serta bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira latar belakang.

“Terima kasih juga kepada pihak JKM dan polis atas tindakan pantas serta maklum balas mereka,” ujarnya.

Difahamkan, si ibu membawa anaknya ke Kuching bagi mendapatkan pekerjaan, namun terpaksa tinggal di jalanan kerana kekangan kewangan untuk membolehkan mereka menyewa rumah.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU