Dua buah balai bomba kategori E akan dibina di Puncak Borneo

SIBURAN: Dua buah balai bomba kategori E dicadang dibina di Parlimen Puncak Borneo, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin.

Beliau berkata, balai bomba tersebut akan dibina di kawasan Teng Bukap, Padawan dan Kampung Krokong, Bau.

“Tapak pembinaan telah diusulkan dan kami telah berbincang bersama pihak Jabatan Tanah dan Survei untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai.

“Dengan adanya balai bomba kategori E ini, ia dapat membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) di Puncak Borneo untuk mencegah kebakaran dan menjalankan kerja menyelamat,” jelas Willie.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Kesedaran Keselamatan Kebakaran sempena Perayaan Hari Natal dan penghargaan kepada barisan hadapan di Balai Bomba dan Penyelamat Siburan hari ini.

Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo menambah, beliau komited dalam membantu JPBM dalam menyampaikan mesej kesedaran kebakaran di kawasan Puncak Borneo.

Untuk itu beliau telah menyumbang sebanyak 100 unit alat pemadaman api untuk kawasan yang berisiko tinggi.

Turut hadir pada program tersebut, Pengarah JPBM Sarawak, Khirudin Drahman dan Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Sarawak, Mohamad Fauzi Mohd Kifli.