Dua buah premis anjur aktiviti judi atas talian diserbu polis

BAU: Dua buah premis yang terdiri daripada kedai runcit dan kedai kopi dipercayai terlibat dalam aktiviti judi atas talian secara haram diserbu polis, semalam.

Kedua-dua premis terbabit masing-masing terletak di kawasan berhampiran Jalan Bau-Batu Kawa dan Jalan Seringgok, Bau telah diperiksa hasil Ops Dadu oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan dan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bau.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon menerusi satu kenyataan rasmi mengesahkan serbuan dijalankan sekitar jam 6.40 dan 7.30 petang.

Menurutnya, dua lelaki warga tempatan masing-masing mengaku sebagai pembantu premis itu telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut dilakukan.

“Serbuan pertama berjaya menahan seorang lelaki, 34, dan merampas barangan kes berupa seunit telefon bimbit jenama ZTE serta wamg tunai.

“Manakala serbuan kedua turut menahan seorang lelaki berusia 28 tahun serta merampas seunit telefon bimbit jenama Vivo serta sejumlah wang tunai,” jelasnya.

Susulan itu, katanya, suspek bersama kesemua barangan kes telah dibawa ke untuk tindakan siasatan lanjut.

Tambahnya, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang kes jenayah lampau.

Tegasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak