Dua dari lelaki yang disyaki merusuh di kedai kopi berjaya ditahan polis

KUCHING: Dua lelaki disyaki antara tiga suspek dalang serangan merusuh kedai kopi ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, kedua-dua suspek berusia 32 dan 39 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan insiden serangan dua lelaki sedang makan di kedai kopi Stampin BDC, Ahad lalu.

Terdahulu, rakaman CCTV kejadian merakamkan salah seorang suspek membaling kerusi ke arah mangsa sebelum menyerang dan memukul mangsa menggunakan tangan dan batang besi.

Serangan tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan, luka pada bahu dan kening kanan.

Menurut Awang, kes terbabit masih lagi dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai merusuh di bawah Seksyen 148 kanun keseksaan.

Suara Sarawak