Dua ditahan berasingan bersama dadah

BAU: Tindakan mencurigakan seorang lelaki warga tempatan menjurus kepada penemuan dadah yang disembunyikan daripada pihak polis di hadapan sebuah premis terbiar Kampung Pangkalan Tebang di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata, sebelum itu pasukan siasatan jenayah dan narkotik Daerah Bau telah memeriksa suspek yang duduk bersendirian sekitar jam 3.20 petang.

Menurutnya, suspek yang berusia 22 tahun itu mengaku sebagai penganggur dan merupakan penduduk asal lokasi tempatnya ditahan. “Hasil pemeriksaan menemui satu peket plastik lut sinar berisi dadah jenis syabu seberat 0.19 gram di dalam sebuah kotak rokok di sebelah tempat duduk suspek.

“Saringan air kencing kemudian mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Suspek kemudian ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibawa ke Balai Polis Bau untuk siasatan lanjut. Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

Dalam pada itu dedahnya, dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan penemuan dadah jenis syabu seberat 0.24 gram pada hari yang sama.

Jelasnya, barang kes kemudian ditemui hasil pemeriksaan anggota petugas khas Bau di tempat letak barang sebuah kereta di belakang bangunan kedai makan sekitar jam 4.30 petang.

Tambah Poge, suspek yang mempunyai rekod kesalahan lampau turut disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine hasil saringan air kencing.

Suspek telah ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibawa ke lokap Balai Polis Bau juga untuk siasatan lanjut. Sabit kesalahan, suspek boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.