KUCHING: Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis menegaskan keputusan sama ada 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang atau sebaliknya, bergantung kepada dua faktor.
Menurutnya, persoalan itu sukar ditentukan ketika ini kerana ia bergantung kepada tempoh penyelesaian kajian semula persempadanan kerusi terlibat serta tarikh pembubaran DUN Sarawak.
“Pertama, kita perlu menyempurnakan kajian semula persempadanan ini sebelum 17 kerusi baharu ini dapat dikuatkuasakan. SPR diberi tempoh dua tahun untuk melengkapkan proses berkenaan.
“Kedua, kita tidak tahu bila DUN Sarawak akan dibubarkan… yang kita tahu ialah DUN Sarawak akan terbubar secara automatik pada Februari 2027.
“Justeru, dua faktor ini menyebabkan SPR belum dapat memberikan kepastian mengenai perkara itu,” katanya ketika menjadi tetamu program Influencer@JAPEN yang disiarkan menerusi Facebook Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak.
Mengenai kajian semula persempadanan kerusi DUN Sarawak, beliau berkata proses itu perlu disiapkan dalam tempoh dua tahun selepas notis berkenaan diwartakan pada 1 September lalu.
Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa peringkat atau proses yang perlu diselesaikan sebelum 17 kerusi baharu itu dapat dikuatkuasakan.
“Sekarang ini, kita berada pada proses pameran notis. Selepas pameran ini, jika ada bantahan, kita perlu menjalankan siasatan tempatan. Itu juga memerlukan masa.
“Selepas tempoh bantahan itu, SPR perlu duduk semula dan meneliti semua bantahan tersebut. Mana yang sah, kita terima dan kita tambah baik. Selepas itu, kita akan mengadakan pameran kali kedua untuk tempoh sebulan juga.
“Selepas semuanya selesai, kita akan menyerahkan laporan akhir kepada Perdana Menteri,” ujarnya.
Pada 1 September lalu, SPR mula mempamerkan notis cadangan bagi penambahan kawasan pilihan raya baharu dan pertukaran nama kawasan pilihan raya di Sarawak.
Notis berkenaan dipamerkan sehingga 30 September ini di beberapa pejabat daerah di seluruh Sarawak bagi membolehkan orang ramai mengemukakan bantahan terhadap cadangan tersebut.
Menurut notis itu, SPR mengikut kehendak Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan telah menjalankan kajian semula pembahagian negeri Sarawak kepada bahagian pilihan raya Persekutuan dan bahagian pilihan raya negeri.
Hasil kajian itu, sebanyak 17 kawasan pilihan raya negeri baharu dicadangkan, manakala 10 lagi dicadangkan untuk ditukar nama.
Selain itu, terdapat satu kawasan pilihan raya Persekutuan di Sarawak yang turut dicadangkan untuk ditukar nama.






