ARTIKEL

Ching Yong (duduk tengah) bersama pasukannya menunjukkan manifesto pilihan raya mereka dengan dua janji yang berjaya ditepati meskipun tewas dalam pilihan raya lalu.

Dua janji manifesto pilihan raya bekas calon GPS di kerusi Parlimen Lanang berjaya ditepati

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Dua janji dalam manisfesto Pilihan Raya Umum (PRU) bekas calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi Parlimen Lanang, Kaunselor Wong Ching Yong, telah berjaya ditepati.

Bercakap kepada media dalam satu sidang media semasa Program Mobile Service2u Pasukan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dudong di sini hari ini, Ching Yong berkata dua janji manisfesto itu adalah kerja baik pulih Jalan Pulau Dudong serta pembinaan Pusat Transit Serba Guna Bukit Tunggal, Durin.

“Kedua-dua permohonannya telah diluluskan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Difahamkan kerja baik pulih Jalan Pulau Dudong melibatkan nilai skim yang diluluskan sebanyak RM40 juta manakala bagi pembinaan Pusat Transit Serba Guna Bukit Tunggal, Durin, ialah sebanyak RM5.6 juta bagi fasa pertama,” kata beliau yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Dudong.

Bagi kerja baik pulih Jalan Pulau Dudong, ujar beliau, firma perunding dari pelbagai disiplin juga telah dilantik dan tendernya dijangka akan dibuka pada suku keempat tahun ini, disusuli dengan kerja-kerja pembinaan yang mungkin bermula dalam suku pertama 2025.

Beliau memaklumkan bahawa kerja-kerja baik pulih jalan sepanjang 7.6 kilometer itu akan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Projek baik pulih Jalan Pulau Dudong dijangka akan bermula dalam suku pertama 2025.

Jalan Pulau Dudong akan menjadi satu lagi jalan utama yang menghubungkan Jalan Kong Yit Khim ke Sibu Jaya dan Lapangan Terbang Sibu yang dapat memendekkan masa perjalanan dengan ketara, ujar Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu itu.

Rentetan daripada permohonan projek pembinaan Pusat Transit Serba Guna Bukit Tunggal, Durin yang sudah diluluskan di bawah Kajian Separuh Penggal RMK12, Ching Yong memaklumkan bahawa tendernya akan dibuka tidak lama lagi.

Justeru, beliau merakamkan penghargaannya kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan timbalannya, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, atas pengesyoran kedua-dua projek itu kepada kementerian dan pihak bertanggungjawab.

“Dua lagi janji manifesto penting pilihan raya saya, iaitu membina Pusat Jantung dan Kanser di Sibu, agak sukar diperjuangkan susulan kekalahan saya dalam pilihan raya yang menyebabkan saya tidak mempunyai platform untuk membawa dua isu perubatan ini kepada Kerajaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, adalah besar harapan saya dan penduduk Sibu agar perjuangan saya itu dapat diteruskan oleh wakil rakyat yang dipilih agar mereka benar-benar komited untuk memperjuangkan dua pusat perubatan tersebut demi manfaat pesakit jantung dan kanser serta keluarga mereka,” tegas Ching Yong.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU