Dua kematian , 219 kes positif baharu Covid-19

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan dua lagi kematian baharu akibat Covid-19 di Hospital Sibu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 telah meningkat kepada 78 orang di Sarawak.

“Kes kematian ke-77 merupakan kes ke-7,675 melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 74 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam, batuk dan sesak nafas.

“Kes kematian ke-78 pula merupakan kes ke-4,334 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 90 tahun yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sibu apabila saringan kontak rapat dengan ujian rT-PCR Covid-19 disahkan meninggal dunia,” katanya.

Tambah JPBN, terdapat 219 kes baharu Covid-19 dikesan di Sarawak.

“Daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Daerah Sibu (80), Kapit (26), Bintulu (25), Kuching (18), Meradong (17), Miri (12), Samarahan (11), Serian (10), Selangau (8), Sri Aman (5), Saratok (3), Kanowit (1), Sarikei (1), Bukit Mabong (1) dan Betong (1).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 8,869 kes,” ujarnya.

Suara Sarawak