Dua kematian, 250 kes positif baharu Covid-19

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan dua lagi kematian baharu akibat Covid-19 di Hospital Betong dan Bintulu.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, ini menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan Covid-19 telah meningkat kepada 80 orang di Sarawak.

“Kes kematian ke-79 merupakan kes ke-8768 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 59 tahun yang telah mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Betong.

“Kes dirujuk terus ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan selanjutnya kerana keadaan kesihatan kes yang kritikal dan ujian rapid test kit antigen Covid-19 adalah positif pada hari yang sama.

“Ujian saringan rT-PCR adalah positif pada 24 Februari lalu dan kes disahkan meninggal dunia pada hari yang sama. Kes mempunyai ko-morbid kencing manis, darah tinggi, gout dan penyakit buah pinggang kronik,” katanya.

Tambah kenyataan itu, bagi kes kematian ke-80, kes merupakan kes ke-6,383 yang melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 54 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Bintulu setelah positif pada 12 Februari lalu.

“Keadaan kesihatan kes semakin merosot dan disahkan meninggal dunia hari ini. Kes mempunyai ko-morbid darah tinggi dan kencing manis,” jelasnya.

Menurut JPBN, terdapat 250 kes baharu Covid-19 dikesan dan dilaporkan di Sarawak.

“Daerah-daerah yang melaporkan kes adalah Daerah Sibu (104), Kuching (43), Kapit (39), Meradong (13), Bintulu (10), Betong (9), Miri (8), Samarahan (4), Sebauh (3), Subis (3), Julau (2), Dalat (2), Beluru (2), Selangau (2), Bau (2), Asajaya (1), Serian (1), Saratok (1), dan Song (1),” ujarnya.

Suara Sarawak