KUCHING: Dua buah kereta mewah dilaporkan terbakar di tempat letak kenderaan Subaru Kuching Auto Mart, kira-kira 5 pagi tadi.
Kejadian yang tidak diketahui punca tersebut menyebabkan dua kenderaan mewah masing-masing jenis Volvo XC90 dan Subaru Forester terbakar lebih separuh sebelum berjaya dipadam oleh pasukan operasi bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kebakaran mengakibatkan kenderaan Volvo terbakar 100 peratus, manakala kenderaan jenis Subaru terjejas 70 peratus.
“Kebakaran hanya melibatkan dua buah kenderaan dan pasukan operasi berjaya menyekat kebakaran daripada merebak.
“Kebakaran tidak melibatkan kecederaan mangsa,”katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, pemadaman dilakukan menerusi penggunaan dua aliran salur bantu dan satu tong buih dari unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.





