Dua kes disyaki novel koronavirus di Sarawak

KUCHING: Sekurang-kurangnya dua kes disyaki novel koronavirus dilaporkan di negeri ini, menurut beberapa sumber yang rapat dengan Kementerian Kesihatan semalam.

Satu kes dikatakan berlaku di Bintulu manakala satu lagi kes disyaki berlaku di Kuching.

Kes pertama dikatakan melibatkan seorang pegawai pemasaran sebuah loji jana kuasa di Bintulu, iaitu warganegara China yang berada di Wuhan pada 11 hingga 16 Januari lalu.

Suspek yang kembali ke negara ini melalui Kota Kinabalu mengalami simptom demam pada Ahad, dan telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

Mangsa kemudian telah dirujuk ke Hospital Bintulu, dan terus dimasukkan ke wad pengasingan.

Wanita berusia 25 tahun itu akan dikuarantin selama 14 hari, manakala sampel darahnya telah dihantar ke Kuala Lumpur untuk pengesahan penyakit.

Mangsa kedua pula melibatkan seorang juruterbang yang menerbangkan pesawat dari Beijing, China.

Seperti mangsa pertama, mangsa ini juga mengalami demam yang tidak kebah dan telah merujuk kesnya ke sebuah pusat rawatan swasta, sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing ketika dihubungi berkata, keputusan sampel darah mangsa pertama dijangka diperoleh hari ini, untuk menentukan sama ada ia positif atau sebaliknya.

Beliau turut menasihati penduduk di negeri ini agar tidak panik kerana Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memandang serius perkembangan ini, dan sedang menguatkuasakan langkah-langkah yang perlu untuk mengelakkan penularan virus ini.

Malah amaran dan kenyataan akan dikeluarkan melalui semua platform termasuk media sosial, sekiranya ada perkembangan lanjut. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut memaklumkan media bahawa beliau telah mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk bermesyuarat semalam, susulan perkembangan terbaharu tersebut.

Katanya, penting untuk seluruh penduduk di negeri ini mengelakkan diri berada di tempat tumpu-an ramai, selain mengelakkan untuk berkunjung ke negara China.

Suara Sarawak