KUCHING: Dua kluster baharu diisytiharkan hari ini iaitu Kluster Kandis Pantu, Sri Aman dan Kluster 511, Sentosa, Kuching.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Kluster Kandis Pantu merupakan kluster komuniti melibatkan dua buah rumah panjang di kawasan Kandis, Lachau dan Rapak Panyau, Pantu.
“Seramai enam individu termasuk kes indeks didapati positif hasil saringan sembilan individu manakala tiga lagi individu masih menunggu keputusan ujian makmal.
“Kesemua individu yang positif telah dirujuk ke Hospital dan PKRC Sri Aman untuk pengasingan dan rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Manakala, JPBN berkata Kluster 511 merupakan kluster tempat kerja yang dikesan melibatkan asrama sebuah kem askar wataniah di Kota Sentosa.
Katanya seramai 12 individu termasuk kes indeks didapati positif hasil saringan 112 individu dan 100 individu yang lain negatif.
“Kesemua yang positif telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak dan PKRC Daerah Kuching untuk pengasingan dan rawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Kluster Sungai Sebetan, Saratok ditamatkan hari ini ekoran tiada kes baharu dikesan dalam tempoh 28 hari yang lepas.
Sementara, terdapat 85 kluster masih aktif dengan 75 kluster tidak melaporkan sebarang kes baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, JPBN berkata Daerah Kabong, Dalat dan Mukah bertukar status kepada merah setelah masing-masing merekodkan 46, 45 dan 44 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Selain itu, Daerah Pakan dan Beluru kembali ke status jingga setelah masing-masing merekodkan 38 dan 40 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Sebanyak 11 daerah kekal berstatus kuning manakala enam daerah kekal berstatus hijau.