Dua kluster baharu diisytiharkan, lima kluster tamat hari ini

KUCHING: Jabatan Kesihan Negeri Sarawak (JKNS) hari ini mengisytiharkan dua kluster baharu iaitu Kluster Jalan Bintulu-Sibu di Tatau dan Kluster Tani Tarat, di Daerah Serian.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan berkata, Kluster Jalan Bintulu-Sibu, Tatau adalah sebuah kluster institusi yang telah dikesan melibatkan sebuah sekolah menengah dan penempatan penduduk di Kilometer 60, Jalan Bintulu-Sibu di Daerah Tatau.

Kata JPBN, indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-18,771 yang melibatkan seorang pelajar lelaki berumur 16 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Tatau pada 6 April lalu dan telah disahkan positif Covid-19 pada 10 April.

“Pergerakan kes indeks ini hanya melibatkan sekitar Daerah Tatau sebelum mula masuk ke asrama sekolah pada 4 April. Kes berkemungkinan telah mendapat jangkitan dari komuniti. “Hasil siasatan lanjut dan pengesanan kes secara aktif dalam kalangan kontak keluarga, rakan sekolah dan kontak kasual kepada kes indeks ini, tambahan 10 kes telah dikesan positif Covid-19.

“Aktiviti saringan juga telah dijalankan melibatkan pelajar dan kakitangan sekolah menengah yang terlibat,” jelas jawatankuasa itu.

Sementara itu, kata JPBN, Kluster Tarat Tani di Daerah Serian merupakan kluster komuniti yang dikesan di kuaters kerajaan di Tarat.

Jelasnya, indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-19,877 yang merupakan seorang wanita warga Sarawak berumur 39 tahun yang telah dikesan menerusi saringan bergejala di Klinik Kesihatan Tarat pada 9 April lalu dan disahkan positif pada 10 April.

Kes indeks adalah seorang suri rumahtangga juga telah menjangkiti dua orang anaknya yang merupakan pelajar di SK Tarat, Serian.

“Punca jangkitan masih disiasat dan berkemungkinan telah mendapat jangkitan melalui jangkitan komuniti, yang kemudiannya merebak kepada ahli keluarga dan individu lain di tempat tinggal kuarters pejabat kerajaan tersebut, termasuk juga sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan Tarat.

“Hasil siasatan lanjut dan pengesanan kes secara aktif dalam kalangan kontak keluarga, rakan sekolah dan kontak kasual kepada kes-kes positif melibatkan kluster ini, sejumlah 21 kes telah dikesan positif Covid-19,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama lima kluster iaitu Kluster Jalan Green, Kuching, Kluster Buluh Pasi, Meradong, Kluster Sena, Miri, Kluster Begalak, Song dan Kluster Sungai Atap, Meradong diisytiharkan tamat oleh JKNS setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari yang lalu.

Suara Sarawak