Dua kluster baharu dikesan di Daerah Sri Aman dan Bintulu

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan dua kluster baharu iaitu kluster Sebangkoi di Daerah Sri Aman dan kluster Jun Heng di Daerah Bintulu.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JKNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kluster Sebangkoi bermula daripada sebuah keluarga yang merebak ke komuniti yang melibatkan kontak rapat dan kontak sosial kepada indeks kes di kawasan sebangkoi, Undop, Sri Aman.

“Kes ke-4,400 yang merupakan seorang perempuan warga tempatan yang berumur 59 tahun yang telah disaring kerana mengalami tanda dan gejala pada 29 Januari lepas semasa dirujuk ke Hospital Sri Aman dari klinik kesihatan di Batu Lintang, Sri Aman.

“Kes ini mempunyai sejarah perjalanan ke Daerah Kuching pada 3 Januari hingga 9 Januari lepas bagi mendapatkan rawatan di klinik penyakit kulit di Kuching,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Uggah, hasil siasatan lanjut dan saringan aktif kepada ahli keluarga dan kontak-kontak rapat kepada kes, seramai 20 kes tambahan dikesan.

Jelasnya, sehingga semalam (5 Febuari) seramai 197 individu telah disaring iaitu 21 kes dikesan positif termasuk kes indeks seramai 80 individu negatif, dan  96 individu masih menunggu keputusan.

Sementara itu, kluster Jun Heng melibatkan beberapa tempat membeli-belah di bandar Bintulu yang berpunca daripada pergerakan kontak-kontak kepada kes indeks.

“Kes merupakan seorang lelaki warga tempatan yang telah dikesan positif Covid-19 pada 28 Januari lepas melalui saringan individu bergejala di sebuah hospital swasta.

“Indeks kes kemudian telah menjangkit ahli keluarga kes yang  kemudian telah menyebarkan jangkitan ke tempat kerja.

“Hasil pengesanan kontak-kontak kepada kes ini telah mengesan tambahan 18 kes positif. Sehingga 5 Februari lepas, seramai 102 individu telah disaring,” ujarnya.

Menurutnya, 19 kes dikesan positif dan 83 orang masih menunggu keputusan ujian saringan.